Sabtu, 17 Mac 2018

Suami Didakwa Kerana Kentut di Muka Isteri.


AMPANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di atas satu tuduhan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Lelaki terbabit dalam pada masa yang sama juga turut bertindak di luar jangkaan apabila dia dikatakan terlebih dahulu telah membuang angin di hadapan muka isterinya.

Suspek iaitu Mohd. Nizam Uri, 33, didakwa telah melakukan perbuatan itu terhadap isterinya Alimaton Ali, 40, di kediaman mereka di Jalan 2/7, Taman Dagang, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 1 Januari tahun lalu.

Berdasarkan laporan yang diterima, pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan supaya suspek membayar wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Namun suspek yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

Oleh kerana itu, Majistret Haslinda A. Raof, telah membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 9 April ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh dikatakan telah bertindak dengan mencederakan mangsa yang juga pengadu dalam kes ini selepas mangsa menyuruhnya untuk pergi ke kedai bagi membeli gas untuk memasak.

Sejurus selepas itu, tertuduh dipercayai berdiri dengan membelakangkan punggungnya ke arah muka mangsa dan kentut di hadapan isterinya.

Akibat daripada perbuatan tersebut, mangsa bertindak memanggil tertuduh dengan perkataan kesat kerana marah dengan perbuatan tersebut.

Tetapi, secara tiba-tiba tertuduh yang berasa berang dipanggil dengan kata-kata kesat terbabit bertindak agresif lalu menampar muka isterinya berkali-kali, menumbuk seluruh anggota badan selain turut menghantukkan kepala mangsa ke dinding. Sumber: E Berita, Editor: S