Rabu, 2 Mei 2018

Video Detik-Detik Juruteknik Maut Motosikal Digesel Kereta


KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya digesel dan dilanggar dengan kereta yang dipandu laju di Jalan Raja Laut, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Raffi Nordin, 23, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisoner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Volkswagen Golf GTI dan Honda EF yang bergerak dari arah sama disyaki memandu kenderaan dengan laju bermula dari persimpangan lampu isyarat di Dataran Merdeka, di sini.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda EF yang berada di hadapan Volkswagen Golf GTI cuba mengelak motosikal ditunggang mangsa yang bergerak dari lorong kiri memasuki laluan kedua kerana terdapat sebuah kereta berada di bahu jalan.

"Kereta Honda EF itu bergesel dengan motosikal berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar kereta Volkswagen Golf GTI yang tidak sempat mengelak.
"Kenderaan itu yang terbabas berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di bahu jalan.


"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting ke kiri jalan hadapan sebuah bangunan kerajaan dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta Honda EF yang melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu."Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. - Berita Harian Online