Video: Selewen 300 Kampit Baja Subsidi


MELAKA - Kerajaan negeri berjaya membongkar dua setor simpanan dipercayai menempatkan baja subsidi kerajaan yang diseleweng, di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, Jasin dekat sini, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya membuat serbuan itu bersama pasukan polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, kedua-dua stor simpanan itu berjaya dipecahkan pada pukul 5.30 pagi selepas lebih tujuh jam menunggu namun penjaganya enggan memberi kerjasama membuka tempat simpanan tersebut.

"Hasilnya, kita menemukan lebih 300 kampit baja subsidi yang ditempatkan di kedua-dua stor berkenaan.

"Daripada rekod yang kita miliki, baja-baja ini adalah bahan subsidi kerajaan terdahulu yang tidak diserahkan kepada penerima sepatutnya seperti diarahkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Dalam pada itu ketika serbuan tersebut, suasana menjadi tegang apabila terdapat sekumpulan penduduk kampung melakukan provokasi terhadap Norhizam serta pihak polis.

Rakaman video serbuan itu yang berdurasi 1 minit 24 saat tersebar dalam laman sosial hari ini. - UTUSAN ONLINE