Karya Arwah Ayah Akan Terus Hidup - Syafiq


“PERASAAN sedih saya sama dengan orang lain apabila kehilangan orang yang besarkan kita, walaupun saya tidak dibesarkan sepenuhnya oleh arwah,” luah penyanyi Syafiq Farhain yang juga anak kepada Allahyarham Saleem yang meninggal dunia 6.15 pagi, hari ini.

Syafiq, 24, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim berkata, kali terakhir melihat arwah bapanya tiga hari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Bagaimanapun, Syafiq tidak dapat berjumpa bapanya kerana ketika itu pihak hospital sedang menguruskan bapanya yang baru dimasukkan ke unit itu.

“Sewaktu dapat berita bapa kemalangan, saya terus ke hospital. Selama beberapa hari juga saya ulang alik melawatnya sebelum arwah dibawa pulang ke rumahnya.

“Tiga hari lalu saya diberitahu ayah dimasukkan ke ICU PPUKM. Saya bergegas ke situ, tetapi tidak sempat berjumpa kerana kesuntukan waktu dan pihak hospital sedang menguruskan prosedur rawatan.

“Semalam saya berada di Kuala Terengganu sebab ada persembahan. Sejurus dimaklumkan berita ini, saya terus bergegas balik ke Kuala Lumpur. Sempat juga saya menatap wajah ayah buat kali terakhir di bilik jenazah hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Syafiq juga berkongsi, arwah bapanya pernah berpesan supaya menyanyi dengan ikhlas dan sentiasa buat baik dengan orang.

“Sebelum ini bapa pernah cakap, menyanyi kena ikhlas dan paling penting buat baik dengan semua orang. Selebihnya saya tidak tahu nak cakap apa.

“Bukan saja saya yang masih terkejut, tetapi seluruh keluarga dan peminat juga. Jadi, saya berharap kepada semua yang mengenali arwah ayah harap bertabah kerana kehilangannya tiada galang ganti.

“Saya yakin karya arwah ayah akan terus hidup. Doakan juga semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Terdahulu, Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) 6.15 pagi hari ini.

Penyanyi berusia 57 itu sebelum ini terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu. Kemalangan itu mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Surau As Syakirin Bandar Mahkota Cheras dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat Zohor.

Antara rakan artis yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir adalah Datuk DJ Dave, Datuk Freddie Fernandez, Ajai, Yantzen, Lan Solo, Salwa Abdul Rahman, Tomok, Farhan, Ifa Raziah, Datuk Hattan, Zamani, Ameng dan ramai lagi. - Harian Metro