Penduduk Yang Serang Saya Dulu.


“APA yang tersebar di laman sosial menerusi video itu adalah secebis daripada kejadian asal kerana ada beberapa bahagian mengenai penutupan jalan tidak disebarkan,” dakwa EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkaitan klip video yang tular beliau bertelagah dengan penduduk kampung.

Beliau menganggap video yang tular adalah tindakan untuk memburukkan dirinya.

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu akur dengan tersebarnya video itu kerana sudah sedia maklum sifat manusia yang lebih terarah menggali keburukan, berbanding mengangkat kebaikan.

“Yang disebarkan hanyalah sisi buruk, sisi saya mendengar, memuji atau membantu penduduk kampung tidak pula disebarkan,” katanya melalui kenyataan media petang ini.

Norhizam mendakwa, kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu ketika dia tiba di lokasi kejadian dan sedang bersalaman dengan penduduk di Taman Akasia, di Melaka sebelum didatangi sekumpulan individu yang bertubi-tubi menyerang dan menyoalnya dengan soalan panas.

“Ia tidak menjadi masalah kepada untuk menjawab soalan itu kerana saya adalah wakil rakyat di kawasan ini dan perlu bersedia berhadapan dengan situasi tidak diduga.

“Namun, siapalah saya untuk menghalang mana-mana pihak supaya tidak terus menyebarkan video berkenaan,” katanya. - Harian Metro