Saleem Iklim Meninggal Dunia


Penyanyi Saleem dilaporkan telah meninggal dunia pagi ini. Saleem, 56, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.15 pagi tadi, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

Menurut Harian Metro, khabar dukacita itu disahkan oleh isteri Saleem, Juriah@Julia Bachok.

Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed dirawat di hospital itu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.

Dalam kejadian di Lebuhraya Grand Saga itu, vokalis kumpulan Iklim itu yang sedang menaiki motosikal dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang yang mengakibatkan sembilan tulang rusuknya patah, dengan satu daripadanya mencederakan paru-parunya.

Menurut Berita Harian, jenazah Saleem akan dibawa ke Surau As-Syakirin Bukit Mahkota, Cheras untuk disembahyangkan dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Bersama-sama Iklim, Saleem mencipta nama sejak tahun 1990-an dengan lagu-lagu popular seperti Suci Dalam Debu, Bukan Ku Tak Sudi dan Selamat Tinggal Penderitaan. - Malaysiakini