17 Jan 2019

Video Mabuk Di Kelab Malam Tersebar, Gelaran Dewi Remaja Haneesya Hanee Ditarik

HANEESYA Hanee atau lebih mesra dengan panggilan Hanee yang ditemui selepas membuat penyerahan mahkota, trofi dan selempang kemenangan di pejabat Nu Ideaktiv, Shah Alam, sebentar tadi, akur dengan keputusan penganjur tersebut.

“Saya ingin meminta maaf daripada hati atas apa yang telah terjadi ini. Saya akui ini merupakan salah saya dan akur dengan keputusan yang dibuat.

“Saya anggap penarikan gelaran ini wajar kerana apa yang saya buat itu salah dan merosakkan nama Dewi Remaja. Sebenarnya saya juga sudah berhasrat untuk memulangkan sendiri gelaran ini,” jelas Hanee sebak.

Tambah Hanee, dia berharap atas apa yang berlaku ini, ibunya tidak dilibatkan sama.

“Saya juga memohon agar ibu saya tidak dilibatkan dalam hal ini yang mengatakan tidak pandai jaga anak dan sebagainya. Ini perbuatan saya sendiri dan tidak melibatkan ibu saya. Jangan libatkan ibu saya,” pintanya.

Hanee juga memberitahu bahawa dia tidak akan berputus asa dan terus bangkit.

“Saya akan perbaiki diri saya, tak akan berputus asa. Setiap orang berhak mendapat peluang kedua. Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai pengajaran.

“Saya juga berterima kasih kerana masih ramai kawan-kawan yang memberi sokongan dan nasihat,” jelas Hanee lagi.

Pada Isnin lalu, tersebar video yang menunjukkan Hanee bersama dua lagi finalis Dewi Remaja di sebuah kelab. - Sinar Harian

Advertiser